
Laporan/foto: Siti Yusmila (Sik)
SIK, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Yang Maha Mulia Che Puan Besar Kedah, Tuanku Haminah Hamidun berkenan mengurniakan sumbangan kepada 210 keluarga asnaf dan 150 orang orang anak yatim dari sekitar daerah ini, semalam.

Penerima sumbangan di Dewan Al-Hana, Sik.
Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan kerjasama Yayasan Sultanah Bahiyah dan Pejabat Daerah dan Tanah Sik di Dewan Al-Hana diadakan bagi menyantuni golongan yang memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Sebanyak RM90,000 telah diperuntukkan bagi membantu meringankan beban penerima dalam membuat persiapan di samping menceriakan mereka menjelang hari kemenangan umat Islam.
Sofa Abu, 79, dari Kampung Selamat, menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima.
“Sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga dalam membuat persediaan dan persiapan bagi menyambut hari lebaran yang bakal tiba,” ujarnya.
Program ini turut mencerminkan keprihatinan pelbagai pihak dalam membantu golongan kurang berkemampuan serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir Yang Amat Berbahagia Tok Puan Jusmalailani Jusoh serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
-RI





