
Laporan/foto: Jaimis Kunjan/Leonard Desmond (Tambunan)
TAMBUNAN, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Litar pintas disyaki menjadi punca kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah milik keluarga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Lubong, di sini kelmarin.
Rumah jenis tidak kekal milik Emanuel Marsius Lasius dilaporkan hangus terbakar kira-kira 89 peratus dalam kejadian tersebut.
Kebakaran itu turut menyebabkan ibunya yang berusia 53 tahun melecur di lengan dan muka sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.

Pegawai Bomba Tinggi ll Johnny John Jinuli (tengah) selaku penyelia operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan sedang mengawasi operasi memadam kebakaran sambil disaksikan Emanuel (kanan).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan Mitchell Francis George berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 8.30 pagi.
Sepasukan enam anggota bomba bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera serta pili bomba.
“Tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke empat buah rumah berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
-RJ-





