Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Persatuan Sindrom Down Perak Pergiat Usaha Kumpul Dana Bantu Ahli

By 6 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur (Perak)

IPOH, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Persatuan Sindrom Down Perak kini mempergiatkan pelbagai inisiatif kendiri bagi mengumpul dana dalam memastikan kebajikan dan kelangsungan persatuan golongan istimewa itu terjaga.

Wakilnya Ezanee Mohamad, 51, berkata sejak mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2018, persatuan itu bergerak aktif menjalankan aktiviti kesedaran dan kebajikan meskipun tidak mempunyai peruntukan kewangan tetap.

Barisan Ahli Jawatankuasa Persatuan Sindrom Down Perak bersama Pengusaha JSlicuous (Foto: Ezanee Mohamad)

“Oleh kerana kita bukan badan yang mempunyai perbelanjaan kewangan sendiri, kita terpaksa bergerak dengan mengadakan pelbagai aktiviti persendirian untuk mendapatkan dana sebagai ‘duit poket’ untuk menguruskan persatuan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini kelmarin.

Beliau menjelaskan antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah penganjuran acara sukan, majlis makan malam amal serta jualan barangan cenderahati eksklusif seperti beg mesra alam dan set sudu garfu berlogokan persatuan.

Sempena bulan Ramadan, persatuan tersebut turut menjalinkan kerjasama dengan pengusaha biskut tradisional di Sungai Siput, JSlicious melalui projek jualan amal yang memberikan keuntungan bersama kepada pengusaha dan tabung persatuan.

Menurutnya, dana yang dikumpul itu akan disalurkan kembali kepada ahli dalam bentuk bantuan hari raya, bantuan awal persekolahan, serta penganjuran bengkel kemahiran keibubapaan.

Terdapat jugak kuih tradisional seperti tiram, biskut kelapa, akaq nyoq dan mazolla.

“Objektif kita adalah untuk mendidik ibu bapa yang mempunyai anak sindrom Down. Kita buat hebahan ke hospital-hospital supaya ibu bapa yang berminat boleh menjadi ahli dan kita bantu beri bimbingan dari sudut cara mengendalikan anak istimewa ini,” ujarnya.

Tambahnya, persatuan itu juga pernah bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menganjurkan program kemahiran keibubapaan bagi memperkasakan ilmu ahli persatuan.

Meskipun masih belum mempunyai pejabat rasmi dan kini hanya menumpang di pejabat guaman milik presiden persatuan di Manjoi, pihaknya tetap optimis untuk terus mendekati masyarakat melalui platform digital seperti Facebook dan laman sesawang rasmi.

Orang ramai yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti persatuan boleh melayari laman Facebook Persatuan Sindrom Down Perak.

-RI

Tinggalkan komen anda