Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pintu Gerbang Cahaya Meriahkan Kampung-Kampung di Saratok Jelang Syawal

By 19 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jane Chua/Edisi Kalaka (Saratok)

SARATOK, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Tradisi menghias pintu gerbang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri terus dipelihara di kampung-kampung sekitar daerah ini sebagai simbol budaya yang mengeratkan perpaduan.

Kaunselor Kasdi Pandi berkata aktiviti pembinaan pintu gerbang bukan sahaja menceriakan suasana kampung malah memupuk semangat kerjasama melalui amalan gotong-royong.

Langkah itu juga menjadi platform perkongsian idea kreatif dalam kalangan masyarakat setempat bagi menyambut bulan Syawal yang bakal tiba.

“Tahun ini tema pintu gerbang adalah Kesyukuran dan Kesederhanaan dengan penekanan kepada penggunaan bahan terpakai,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif semalam.

Pintu gerbang bertema Kesyukuran dan Kesederhanaan yang dihiasi lampu pelbagai warna menjadi mercu tanda keceriaan penduduk di Saratok menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kasdi memberitahu pendekatan tersebut bukan sahaja membantu menjimatkan kos malah merangsang kreativiti penduduk dalam menghasilkan hiasan yang menarik.

Tradisi ini telah bermula sejak tahun 1989 melalui penganjuran pertandingan pertama yang menggunakan pelita minyak tanah serta bahan semula jadi.

Bahan seperti rotan, nipah, rumbia dan batang kayu hutan digunakan secara meluas pada peringkat awal penganjurannya di daerah ini.

Seiring peredaran zaman, pintu gerbang yang dihasilkan kini tampil lebih moden dengan penggunaan lampu pelbagai warna dan struktur yang lebih kukuh.

Penggunaan bahan terpakai pada hiasan pintu gerbang di Saratok mencerminkan kreativiti penduduk dalam mengekalkan nilai kesederhanaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun menggunakan elemen moden, binaan tersebut tetap mengekalkan identiti tradisional yang menjadi kebanggaan penduduk kampung.

Beliau menyifatkan amalan turun-temurun ini sebagai platform penting dalam memperkukuh silaturahim serta mewujudkan suasana kampung yang harmoni.

Keceriaan yang dihasilkan melalui pintu gerbang ini sekali gus menyemarakkan lagi bahang sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.

-RJ-

Tinggalkan komen anda