
Laporan/foto: Chan Suk Leng (Sibu)
SIBU, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Tokong Eng Ann Teng Tua Pek Kong yang berdiri megah di tebing Sungai Rajang menjadi simbol keteguhan warisan komuniti Cina di Sibu sejak sebelum tahun 1870.
Sejarah tokong yang melangkaui satu abad ini merupakan saksi kepada perkembangan Sibu daripada sebuah penempatan kecil kepada bandar yang pesat membangun.
Penjaga amanah tokong Lau Kai Huat, 60, berkata pelbagai kisah luar biasa sering dikaitkan dengan kewujudan rumah ibadat tersebut termasuk keajaiban semasa kebakaran besar Sibu pada 8 Mac 1928.

Kai Huat (tengah) memberitahu, Tokong Eng Ann Teng Tua Pek Kong dibina semula dengan menggunakan bahan dari China seperti jubin bumbung dan lantai batu bagi mengekalkan identiti tradisionalnya.
“Hampir keseluruhan bandar musnah dalam kebakaran tersebut namun tokong ini kekal utuh tanpa sebarang kerosakan,” katanya kepada MalaysiaAktif hari ini.
Kai Huat memberitahu peristiwa sama berlaku semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 apabila pengeboman tentera Bersekutu menyebabkan kemusnahan besar di sekitar kawasan tersebut.
Beliau menjelaskan patung dewa utama di dalam tokong itu ditemui dalam keadaan sempurna meskipun bangunan di sekelilingnya ranap.
Tokong ini telah melalui pelbagai fasa pembangunan bermula daripada struktur kayu sederhana kepada binaan yang lebih kukuh dan terperinci.
Pada tahun 1897 tokong ini dibina semula menggunakan bahan dari China seperti jubin bumbung dan lantai batu bagi mengekalkan identiti tradisionalnya.

Pagoda tujuh tingkat yang dibina pada tahun 1987 menjadi daya tarikan utama pelancong ke Tokong Eng Ann Teng Tua Pek Kong kerana keunikan seni bina dan nilai sejarahnya yang melangkaui satu abad.
“Perkembangannya diteruskan pada tahun 1957 apabila struktur konkrit dibina dan dirasmikan oleh Gabenor Sarawak ketika itu Anthony Abell,” katanya.
Kemuncak transformasi tokong ini ialah pembinaan pagoda tujuh tingkat pada tahun 1987 dengan kos RM1.5 juta yang dikhaskan untuk Dewi Mercy.
Struktur pagoda tersebut telah dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 4 Mei 1989.
Tokong Tua Pek Kong kini bukan sahaja menjadi pusat ibadat malah diiktiraf sebagai destinasi pelancongan utama yang dihiasi ukiran naga serta burung phoenix.
Keunikan sejarah dan seni binanya menjadikan tokong ini terus teguh berdiri sebagai khazanah warisan yang mencerminkan keharmonian masyarakat di Bumi Kenyalang.
-RJ-





