
Laporan/foto: Mohamed Fazri Yusri (Miri)
MIRI, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Penduduk Kampung Haji Wahed bergotong-royong menjayakan program berbuka puasa komuniti yang berlangsung di Surau Nurul Hidayah, di sini kelmarin.
Program tahunan tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
“Program seperti ini bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan, malah menjadi medium terbaik untuk memperkukuh ukhuwah serta merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Sebastian Ting merakam gambar kenangan bersama-sama dengan penduduk kampung serta tetamu yang hadir pada program petang kelmarin.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan serta duit raya kepada 51 penerima dalam kalangan golongan asnaf dan penduduk yang memerlukan.
Sumbangan tersebut disalurkan oleh syarikat Tong Seng Huat Sdn. Bhd. melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Wakil syarikat Tan Song Lin berkata program tersebut merupakan antara komitmen kebajikan syarikat di lapan kampung sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau sepanjang Ramadan.
Salah seorang penerima Norani Bohari, 65, berkata bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan keluarganya.
-RJ-





