
Laporan/foto: Suhaime Sahirul (Sipitang)
SIPITANG, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Program Imarah MADANI Sipitang 2026 dianjurkan bagi mengimarahkan masjid serta memperkukuh nilai kebajikan dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.

Sapawi Ahmad menyampaikan ucapan dan menyertai penyampaian sumbangan asnaf serta mualaf pada Program Imarah MADANI Sipitang 2026.
Program anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) itu bertujuan menyemai nilai Malaysia MADANI berteraskan kesejahteraan, hormat dan ihsan.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata program tersebut menjadi platform memperkasa gerakan dakwah serta mendekatkan generasi muda dengan institusi masjid.
“Program ini dianjurkan untuk menghidupkan bulan Ramadan melalui pengisian kerohanian termasuk tazkirah, majlis ilmu dan aktiviti kebajikan.
“Kehadiran saya sebagai tanda sokongan terhadap usaha berterusan mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan perpaduan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Masjid Haji Abdullah Kampung Lumut, di sini Sabtu.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada enam asnaf dan 15 mualaf serta bantuan kepada Masjid Haji Abdullah Kampung Lumut dan Surau Haji Ahmed Pasir Puteh Ulu Sipitang.
Penerima sumbangan, Noorain Abdullah, 62, berkata bantuan tersebut membantu meringankan beban golongan memerlukan.
“Kami amat berterima kasih atas sumbangan ini yang sedikit sebanyak meringankan beban kami.
“Diharap program seperti ini dapat diteruskan bagi menyantuni masyarakat serta mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan penduduk,” ujarnya.
Program itu turut dijayakan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri Negeri Sabah, Jawatankuasa Badan Dakwah Daerah Sipitang, Masjid Haji Abdullah Kampung Lumut serta Komuniti MADANI Parlimen Sipitang.
-RJ-





