
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi menjadi peluang umat Islam meningkatkan amalan serta memupuk empati terhadap golongan kurang berkemampuan.
Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Issraq Ramli berkata ibadah puasa perlu memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain selain mendidik masyarakat supaya tidak membazir.

Dr. Issraq Ramli menyampaikan perkongsian dalam Program TeaTalk JAPEN Sabah Edisi Khas Ramadan di Kota Kinabalu.
“Jika kita menjaga tiga anak yatim atau memberi makan kepada anak-anak tahfiz setiap hari, walaupun mereka belum baligh, segala kebaikan yang mereka lakukan tetap memberi pahala kepada kita.
“Amalan puasa hanya sah dan diterima Allah sekiranya dilakukan oleh mereka yang cukup umur dan faham maksud ibadah ini supaya setiap kebaikan yang dilakukan benar-benar memberi ganjaran pahala,” katanya pada Program TeaTalk JAPEN Sabah Edisi Khas Ramadan ‘Ramadan Bukan Sekadar Berpuasa’, di sini pada Khamis.
Beliau berkata puasa turut melatih disiplin diri dalam mengurus kehidupan seharian termasuk mengawal tabiat makan, tidur serta penggunaan masa agar kesan positifnya berpanjangan.
“Ramadan mengajar kita menghormati keperluan orang lain, memahami kesusahan mereka dan melatih kita menjadi insan lebih bertanggungjawab serta prihatin bukan hanya pada bulan puasa tetapi sepanjang tahun.
“Bulan ini sebaiknya kita banyak beriktikaf di masjid dan membaca al-Quran serta menggunakan peluang Ramadan untuk menambah amal ibadah,” ujarnya.
-RJ-








