
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh menziarahi keluarga mangsa kebakaran di Taman Sentosa Indah dan menyalurkan bantuan segera di Hospital Sri Aman 2, hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut manakala lima lagi ahli keluarga mengalami kecederaan melecur.

Mahra Salleh (tengah) bersama wakil Pegawai Daerah Sri Aman Hamizan Yahya (kiri) dan Ketua Kaum Taman Sentosa Indah Awang Kamarudin Awang Majit (dua dari kanan) selepas menziarahi mangsa di hospital.
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Ahmad Arfan Shah, anak kepada kakitangan Pejabat Daerah Engkilili, Dayang Siti Mahfuzah Abang Mohd Sanwani yang turut cedera dalam kejadian tersebut dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
Antara mangsa lain yang tercedera termasuk bapanya, Abang Mohd Sanwani Abang Haji Amin, 65, serta kakaknya, Dayang Khairulnisa, 41. Dua lagi anak beliau iaitu Ahmad Alif Firdaus, 15, dan Anis Natrah, 13, turut mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Mahra ketika ditemui menzahirkan rasa simpati terhadap nasib keluarga berkenaan dan memaklumkan beberapa mangsa kini ditempatkan di Zon Merah serta Zon Kuning Hospital Sri Aman 2 bagi menerima rawatan lanjut.
“Kerajaan dan agensi berkaitan akan memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian menerusi penilaian bantuan tambahan seperti skim insurans kelompok kakitangan kerajaan serta bantuan ehsan kebakaran,” katanya.
Beliau turut mengarahkan agensi berkaitan termasuk Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mengambil tindakan segera bagi menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Hamizan Yahya serta Ketua Kaum Taman Sentosa Indah, Awang Kamarudin Awang Majit.
-RJ-






