
Laporan/foto: Magdellina Alfred Jeho/Christopher Janting (Sarikei)
SARIKEI, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Ketupat bukan sekadar juadah tradisional yang sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri malah turut melambangkan nilai warisan serta keakraban dalam masyarakat Malaysia.
Walaupun kini terdapat pelbagai pilihan ketupat segera, ketupat tradisional yang dianyam tangan masih menjadi pilihan kerana keunikan seni dan nilai budaya yang tersendiri.

Elizabeth menunjukkan cara menganyam ketupat menggunakan daun kelapa bagi mengekalkan aroma dan rasa autentik sebagai usaha memelihara seni warisan tangan masyarakat tempatan di sini, semalam.
Kemahiran menganyam ketupat kini turut dipelajari dan dikuasai oleh pelbagai kaum sekali gus mencerminkan perpaduan serta keterbukaan budaya di negara ini.
Peniaga, Elizabeth Kon, 65, berkata beliau mula mempelajari seni anyaman ketupat daripada ibunya sejak di bangku sekolah lagi.
“Menganyam ketupat bukanlah mudah kerana ia memerlukan teknik yang betul serta ketelitian untuk menghasilkan anyaman yang kemas,” katanya ketika ditemui di Pasar Sentral Sarikei, semalam.
Menurut Elizabeth, setiap anyaman ketupat bukan sekadar bekas mengisi beras malah membawa nilai sentimental yang melambangkan kesabaran serta kasih sayang.
Ketupat yang dianyam menggunakan daun kelapa atau daun palas bukan sahaja mengekalkan aroma autentik malah menyerlahkan keindahan seni tangan masyarakat tempatan.
Usaha memelihara seni anyaman ketupat perlu terus diperkasa agar warisan ini tidak luput ditelan zaman bagi tatapan generasi akan datang.
Penerapan nilai warisan ini menjadi khazanah budaya yang penting dalam memperkukuh identiti masyarakat majmuk di Sarawak.
-RJ-






