Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Sungkai WAKAL Serlah Identiti Etnik Kedayan

By 19 Mac 2026Mac 20th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/WAKAL

LABUAN, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Iftar & Solat Sunat Tarawih (Sungkai Bersama WAKAL) menyerlahkan identiti dan keunikan etnik Kedayan di pulau itu.

Majlis Sungkai WAKAL bertambah seri apabila dilaksanakan di rumah etnik Kedayan

Menurut Yang Dipertua Persatuan Kedayan Labuan, Datuk Rozman Isli majlis itu bukan hanya sekadar majlis berbuka puasa, malah turut diisi dengan aktiviti bermakna seperti sesi perkongsian ilmu, pengalaman dan nilai kehidupan antara golongan warga emas dan belia bagi memastikan warisan budaya Kedayan terus dipelihara, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Program seumpama ini bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform penting dalam menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh silaturahim dan memartabatkan budaya masyarakat Kedayan di Labuan, yang dikenali sebagai Pulau Mutiara.

“Dalam masa yang sama, kami melihat sinergi strategik antara Perbadanan Labuan dan WAKAL sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperkasa sektor pelancongan berasaskan komuniti dan warisan,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.

Majlis Sungkai WAKAL platform penting dalam menyemarakkan semangat kebersamaan

Beliau berkata, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, pihaknya komited untuk terus bekerjasama dalam merangka program-program berimpak tinggi yang bukan sahaja mempromosikan keindahan budaya Kedayan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuh kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan budaya yang berdaya.

Tambahnya, majlis itu juga bertambah seri apabila dilaksanakan di rumah etnik kedayan yang dibina Perbadanan Labuan tahun lalu.

“Rumah Etnik Kedayan sebagai sebuah mercu tanda warisan yang baharu dibangunkan oleh Perbadanan Labuan tahun lalu menampilkan keunikan seni bina tradisional Kedayan yang autentik, sekali gus memperkukuh identiti masyarakat setempat.

“Rumah Etnik Kedayan berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan unik yang mampu menarik kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda