
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Leret, Norazean Md Nor berkata program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu menawarkan barangan keperluan harian dengan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Selain beras, pelbagai barangan lain khasnya keperluan untuk sambutan hari raya ada di jual
“Program ini memberi manfaat besar khususnya kepada masyarakat luar bandar dalam mengurangkan beban kos sara hidup, terutama menjelang Aidilfitri,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Pegawai KPDN Kulim Bandar Baharu, Nur Amira Mohd Yusoff memaklumkan antara barangan yang ditawarkan termasuk ayam, ikan dan hasil laut, daging lembu, telur ayam, minyak masak botol, tepung gandum, barangan pembersihan rumah serta lampin pakai buang.
“Melalui program ini, pengguna berpeluang menikmati harga barangan keperluan harian yang lebih rendah, sekali gus membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih menjimatkan,” katanya.
Seorang pengunjung, Jamil Abu Bakar, 37, berkata beliau tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan pada harga lebih murah.
“Saya datang kerana harga yang ditawarkan lebih rendah dan ini sangat membantu menjimatkan perbelanjaan, terutamanya bagi kami yang tinggal di luar bandar,” katanya.
Tinjauan mendapati program itu menjadi tumpuan penduduk kampung sekitar yang hadir untuk membeli barangan keperluan tanpa perlu ke bandar besar.
Program seumpama ini dilihat bukan sahaja membantu menjimatkan perbelanjaan, malah memberi kelegaan kepada masyarakat untuk membuat persiapan Aidilfitri dan meraikannya bersama keluarga dengan lebih bermakna.
-AA





