Skip to main content
Berita TempatanSarawak

SKAS 2026 Perkukuh Kebajikan Rakyat Betong, Sibu

By 19 Mac 2026Mac 20th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Senie Endin (Betong)/Chan Suk Leng (Sibu)

KUCHING, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 terus membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Program Simbolik Penyerahan SKAS diadakan di Dewan Masyarakat Spaoh hasil kerjasama Pejabat Residen Bahagian Betong dan Pejabat Daerah Spaoh bagi menyantuni penduduk setempat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan negeri sentiasa komited memastikan kesejahteraan rakyat terutama di kawasan luar bandar terus terpelihara melalui pelbagai inisiatif bantuan dan pembangunan komuniti.

“SKAS yang diperkenalkan sejak 2017 telah banyak membantu kehidupan seharian rakyat,” katanya ketika ditemui di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini hari ini.

Douglas Uggah menyampaikan plak simbolik SKAS 2026 kepada salah seorang penerima bagi kategori isi rumah.

Menurut Douglas Uggah, bagi tahun 2026, kadar bantuan ditingkatkan kepada RM900 bagi isi rumah berkeluarga dan RM500 bagi individu bujang yang disalurkan melalui aplikasi Sarawak Pay Global (SPay Global).

Beliau turut memaklumkan kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bentuk bantuan lain termasuk sokongan kebajikan kepada warga emas dan ibu tunggal serta peluang pendidikan melalui biasiswa kepada anak-anak Sarawak di institusi pengajian tinggi tempatan.

Douglas Uggah menekankan kepentingan perpaduan rakyat sebagai asas kepada kemakmuran negeri serta usaha berterusan kerajaan dalam menjana sumber kewangan bagi melaksanakan pembangunan secara holistik.

Sementara itu, di Sibu, majlis pelancaran SKAS 2026 turut menampilkan peningkatan kecekapan penyaluran bantuan melalui penggunaan teknologi digital.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata bantuan yang disalurkan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima bagi memenuhi keperluan asas harian.

Sayeed Azmee menyerahkan plak simbolik SKAS 2026 kepada salah seorang penerima bujang.

“Pelaksanaan SKAS 2026 menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 90 peratus penerima telah mendaftar menggunakan aplikasi pembayaran tanpa tunai SPay Global sekali gus memastikan penyaluran bantuan lebih cekap, telus dan bersasar,” katanya.

Pelaksanaan SKAS yang memasuki tahun kedua ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara seiring dengan pembangunan ekonomi negeri.

-RJ-

Tinggalkan komen anda