Skip to main content
Berita TempatanSarawak

SRS Perkukuh Keselamatan, Perpaduan Komuniti

By 10 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/JPNIN Mukah (Mukah)

MUKAH, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Skim Rondaan Sukarela (SRS) melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) membantu meningkatkan keselamatan kejiranan melalui penglibatan aktif sukarelawan penduduk setempat.

Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah Siti Nurfatimah Hussen berkata penglibatan masyarakat dalam skim tersebut bukan sahaja membantu memantau keselamatan persekitaran, malah mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti pelbagai latar belakang.

“Melalui SRS ini penduduk setempat diberi peluang memainkan peranan secara langsung dalam memastikan kawasan kejiranan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya ketika ditemui oleh MalaysiaAktif, di sini hari ini.

Menurutnya, penyertaan dalam SRS terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan mereka turut dilindungi oleh perlindungan insurans ketika menjalankan rondaan di kawasan kejiranan.

Siti Nurfatimah (duduk, tengah) bergambar bersama ahli SRS sebelum memulakan rondaan sekeliling Kawasan Rukun Tetangga.

Beliau menggalakkan lebih ramai penduduk menyertai Skim Rondaan Sukarela bagi memastikan usaha memperkukuh keselamatan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Apabila masyarakat bersatu dan saling bekerjasama menjaga kawasan kejiranan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan jenayah malah dapat membina komuniti yang lebih harmoni dan selamat,” katanya.

Kini sebanyak 42 SRS telah ditubuhkan di Bahagian Mukah melalui KRT dengan penglibatan kira-kira 630 ahli peronda sukarela yang menjalankan rondaan berkala bagi memantau sebarang aktiviti mencurigakan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda