Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tasik Biru Bau Warisan Sejarah, Aset Pelancongan

By 5 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Sarawak)

BAU, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Terletak di tengah pekan Bau, Tasik Biru merupakan destinasi ikonik yang kaya dengan nilai sejarah serta keindahan alam semula jadi.

Tasik ini terbentuk daripada bekas kawasan perlombongan emas yang suatu ketika dahulu menjadi antara kegiatan ekonomi utama di Bau sebelum berubah menjadi lokasi rekreasi yang memukau serta kebanggaan masyarakat setempat.

Air tasik yang tenang berwarna kebiruan menjadi tarikan utama pengunjung, apatah lagi apabila pantulan cahaya matahari di permukaan air menghasilkan panorama indah, khususnya pada waktu pagi dan lewat petang.

Dikelilingi kehijauan bukit-bukau serta landskap yang terjaga, suasana di Tasik Biru memberikan ketenangan kepada pengunjung yang datang beriadah atau sekadar menikmati pemandangan.

“Tasik Biru bukan sahaja menjadi lokasi riadah seperti berjoging, bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga, malah sering dijadikan latar fotografi kerana pemandangannya yang unik dan berkarakter.

“Perkhidmatan Photo Booth juga disediakan untuk pengunjung merakam gambar digital dengan latar belakang Tasik Biru,” kata seorang pengunjung pengunjung, Geviena John, 20 yang ditemu bual Malaysia Aktif, semalam.

Kemudahan asas yang tersedia di kawasan tasik turut membolehkan pengunjung menikmati suasana dengan lebih selesa, sama ada untuk aktiviti santai mahupun program komuniti.

Tasik Biru kini terus menjadi simbol perubahan, kemajuan dan warisan yang dipelihara agar keindahannya dapat dinikmati oleh masyarakat setempat serta pelancong dari dalam dan luar negara.

-FN

Tinggalkan komen anda