Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

164 Calon SPM 2025 SMK Khir Johari Dirai

By 1 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhd Sufe Fuddin (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 1 Apr (MalaysiaAktif) – Seramai 164 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari yang hadir bagi mengambil keputusan peperiksaan dirai dalam satu majlis khas oleh ibu bapa dan guru yang setia memberikan sokongan moral, semalam.

Antara ibu bapa dan guru yang setia memberikan sokongan moral.

Majlis Penyerahan Keputusan bukan sahaja menjadi detik penting dalam kehidupan pelajar, malah mencerminkan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan agensi luar dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Seawal pagi, perkarangan sekolah mula dipenuhi pelajar dengan wajah-wajah penuh harapan jelas terpancar, menggambarkan penantian panjang selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh persekolahan.

Pengetua SMK Khir Johari Mohammad Isham Saadon merakamkan penghargaan kepada semua calon atas komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam menghadapi cabaran akademik.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian pelajar yang berjaya meningkatkan prestasi keseluruhan sekolah.

Antara pelajar yang ingin mendapatkan maklumat di reruai pameran institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Kejayaan pelajar juga didorong oleh sokongan berterusan daripada guru serta penglibatan aktif dalam program pembangunan pelajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan juga agensi luar,” katanya.

Menariknya, pada hari pengumuman keputusan tersebut, beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta turut membuka reruai pameran pendidikan di kawasan sekolah bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar.

Antara yang terlibat termasuk wakil universiti awam, kolej komuniti, politeknik serta institusi latihan kemahiran, sekali gus membantu pelajar merancang hala tuju pendidikan mereka selepas SPM.

-RI

Tinggalkan komen anda