Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

3,866 Bakal Jemaah Haji Johor Terima Bantuan RM1.15 Juta Melalui BKJ 2026

By 6 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Mohd Fared Mohd Khalid

JOHOR BAHRU, 6 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM1.15 juta melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) bagi memberi manfaat kepada 3,866 bakal jemaah haji negeri ini untuk musim 1447H/2026M.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memelihara kesejahteraan rakyat.

“Ia khususnya dalam memastikan persiapan menunaikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan sempurna,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Johor di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, di sini kelmarin.

Mohd Fared mengingatkan bakal jemaah agar sentiasa menjaga disiplin serta memelihara akhlak sepanjang berada di Tanah Suci.

Dalam pada itu, beliau berkata kursus yang dianjurkan memberi penekanan kepada persediaan menyeluruh meliputi aspek rohani, mental dan fizikal, termasuk modul latihan praktikal seperti tawaf, saie dan melontar jamrah.

“Melalui modul praktikal ini, bakal jemaah dapat memperoleh gambaran lebih jelas mengenai situasi sebenar di Tanah Suci, diharapkan bimbingan yang diberikan dapat memperkukuh tahap kesediaan jemaah,” katanya.

Beliau mengingatkan bakal jemaah agar sentiasa menjaga disiplin serta memelihara akhlak sepanjang berada di Tanah Suci.

“Jemaah haji Malaysia terkenal dengan sikap tertib dan berdisiplin, justeru reputasi tesebut perlu dikekalkan kerana mereka merupakan duta kecil negara di hadapan umat Islam dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau turut menasihati jemaah supaya sentiasa bersabar menghadapi cabaran termasuk faktor cuaca dan kesesakan, serta mematuhi segala arahan petugas Tabung Haji demi keselamatan dan kebajikan bersama.

-RI

Tinggalkan komen anda