Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

5 MRSM Terbaik SPM 2025 Terima RM100,000

By 21 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)

DUNGUN, 21 April (MalaysiaAktif) – Lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang berada dalam lima kelompok sekolah terbaik negara pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 masing-masing menerima insentif RM100,000 daripada kerajaan.

Lima MRSM tersebut ialah MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Gemencheh, MRSM Taiping, MRSM Pengkalan Chepa dan MRSM Kuala Kubu Bharu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sumbangan itu membabitkan RM50,000 peruntukan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan baki RM50,000 oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut mengumumkan kelulusan tambahan sebanyak RM650,000 kepada MRSM Tun Ghafar Baba bagi tujuan baik pulih infrastruktur dan fasiliti maktab.

“MRSM menjadi satu nama besar dalam sistem pendidikan negara yang memberi peluang untuk anak-anak di ceruk desa, daripada keluarga yang serba kekurangan untuk dapat bersama-sama mengambil peluang di 58 MRSM di seluruh negara.

“Inilah bukti bahawa MRSM bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi laluan mobiliti sosial bangsa dengan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian MRSM Dungun, di sini semalam yang turut dihadiri Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menyingkap kejayaan MRSM pada SPM 2025 selain lima di kelompok terbaik, Ahmad Zahid berkata MRSM Ulul Albab seperti MRSM Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bera dan MRSM Bagan Datuk berjaya menduduki kelompok 15 terbaik walaupun masih baharu.

Beliau dalam pada itu turut menyampaikan hasrat mahu melihat MRSM Dungun memberi saingan dan berada pada kedudukan terbaik seperti MRSM dan sekolah berasrama penuh lain meskipun berstatus MRSM ‘termuda’.

“Penubuhan MRSM Dungun ini mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah unggul serta kepimpinan berwibawa,” katanya.

MRSM ke-58 itu dibina atas kawasan berkeluasan 71 ekar dengan bilangan pelajar terkini seramai 750 orang sejak mula beroperasi 1 Dis lepas.

-FN

Tinggalkan komen anda