
Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/Mohd Fadzhel Ramneh (Kota Belud)
KOTA BELUD, 21 April (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Saringan Kanser (SaKan) dan Karnival Komuniti Sihat Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung pada 17 hingga 23 April 2026 di Dewan Datuk Fairuz Renddan mendapat sambutan hangat masyarakat setempat.
Rata-rata pengunjung tampil menjalani saringan kesihatan secara sukarela bagi menunjukkan keprihatinan terhadap kepentingan pengesanan awal penyakit tanpa mengira usia serta jantina.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran Renuga Devi Kanabalan berkata program itu merupakan usaha mendekati masyarakat bagi memupuk amalan gaya hidup sihat secara berterusan.

Dr. Renuga Devi menyeru masyarakat setempat hadir menjalani pemeriksaan saringan kanser.
Beliau menjelaskan objektif utama SaKan adalah untuk memberi peluang kepada orang awam menjalani saringan secara percuma serta mendapatkan pendidikan kesihatan melalui pelbagai aktiviti bermanfaat.
“Jangan tunggu sakit baru mahu saring sebaliknya ambil peluang ini demi kesejahteraan masyarakat di Kota Belud,” katanya kepada MalaysiaAktif pada Ahad.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Sabah Fairuz Renddan menekankan kepentingan kerjasama bersepadu pelbagai pihak termasuk agensi kesihatan bagi mewujudkan kelompok masyarakat yang sihat.
Beliau turut menggesa penduduk memanfaatkan kehadiran pakar perubatan serta kemudahan sokongan mobil seperti Majlis Kanser Nasional (MAKNA) yang menyediakan saringan khusus di lokasi tersebut.

Orang awam tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan mata dan saringan kesihatan awal bagi memastikan kesejahteraan diri pada Program Jelajah Saringan Kanser (SaKan) di Kota Belud.
Program selama tujuh hari itu menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk saringan kanser payu dara, kolorektal, oral serta pemeriksaan pergigian dan kempen derma darah.
Selain pengisian kesihatan karnival itu turut dimeriahkan dengan Jualan MADANI, pameran agensi serta aktiviti senamrobik bagi menarik penyertaan lebih luas daripada komuniti setempat.
-RJ-





