
Laporan/foto: Iswandi Kassim/Stanley Clarence Eddie (Sri Aman)
SRI AMAN, 8 April (MalaysiaAktif) – Air Terjun Wong Pupu di kawasan Batu Lintang kini mula mendapat perhatian sebagai destinasi ekopelancongan baharu di Sri Aman.
Terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Sri Aman, ia menawarkan panorama hutan tropika serta aliran air jernih yang mendamaikan buat para pengunjung.
Pengunjung Stanley Clarence Eddie berkata keunikan utama lokasi tersebut terletak pada sejarahnya yang pernah berfungsi sebagai tapak mini hidro utama bagi bahagian Sri Aman.
Beliau menjelaskan sisa sejarah berkenaan menjadikan kawasan tersebut istimewa selain memberikan pengalaman alam semula jadi yang sebenar kepada setiap pelawat yang hadir.
“Walaupun operasi mini hidro telah dihentikan namun nilai sejarahnya memberikan keunikan tersendiri kepada kawasan air terjun ini,” katanya kepada MalaysiaAktif, kelmarin.
Kelestarian kawasan tersebut sentiasa terjaga hasil usaha murni komuniti setempat yang melaksanakan aktiviti gotong-royong secara sukarela bagi memastikan kebersihan persekitaran.
Stanley memberitahu kawasan Batu Lintang juga mempunyai nilai sejarah tinggi berkaitan kehidupan masyarakat sempadan sekitar tahun 1960-an.
Beliau menjelaskan kesan sejarah itu masih dapat dilihat menerusi kewujudan Pasar Batu Lintang yang telah beroperasi sejak beberapa generasi sebagai nadi ekonomi penduduk.
“Gabungan elemen cerita rakyat serta keindahan alam mampu membentuk produk pelancongan bersepadu yang unik untuk diketengahkan kepada pelancong luar,” katanya.
Pada masa sama. beliau berpendapat penambahbaikan akses jalan raya serta promosi yang lebih agresif diperlukan bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke lokasi berkenaan.
-RJ-





