
Laporan/foto: Iswandi Kassim/SMK Sri Aman (Sri Aman)
SRI AMAN, 8 April (MalaysiaAktif) – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman Aariz Abdillah sekali lagi mengharumkan nama Sarawak apabila merangkul pingat emas dalam pertandingan Global English Language Olympiad of Southeast Asia (GELOSEA).
Kejayaan di Singapura itu menyaksikan Aariz mengulangi pencapaian cemerlangnya di peringkat antarabangsa selepas turut mencipta nama dalam pertandingan sama di Incheon, Korea Selatan tahun lalu.
Pertandingan berprestij yang berlangsung pada 5 hingga 8 April itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negara termasuk Filipina, Thailand, India, Mongolia dan Vietnam.
Aariz yang bertanding dalam kategori Secondary 3 membuktikan konsistensinya apabila muncul antara peserta terbaik bagi kategori berkenaan.
Pencapaian tersebut turut menyumbang kepada kejayaan pasukan Malaysia yang dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik Keseluruhan dalam kejohanan itu.

Pasukan pelajar Sarawak bergambar bersama bendera Malaysia sambil menunjukkan pingat serta sijil masing-masing termasuk Aariz Abdillah (dua kanan) di Singapura.
Aariz berkata kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan serta sokongan padu daripada pihak sekolah, keluarga dan rakan-rakan.
“Saya amat bersyukur kerana dapat mengulangi kejayaan di pentas antarabangsa bagi memberi keyakinan untuk terus bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya kepada MalaysiaAktif kelmarin.
Beliau berharap pencapaiannya itu dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk berani mencabar diri bagi mencapai kejayaan cemerlang.
“Saya percaya pelajar dari Sri Aman juga mampu pergi jauh sekiranya mempunyai keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu,” tambahnya.
Seramai tujuh pelajar dari Sarawak yang mewakili negara dalam pertandingan tersebut turut mencatat pencapaian membanggakan melalui kutipan pingat Diamond, Emas, Perak serta Gangsa.
Terdahulu, Aariz merupakan antara 28 pelajar Malaysia yang menerima sijil penghargaan daripada Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Istana Negara pada 29 Januari lalu.
-RJ-





