
Laporan/foto: Sarah Nur (Perak)/KK Taiping
IPOH, 27 April (MalaysiaAktif) – Kolej Komuniti (KK) Taiping berjaya membolot beberapa kemenangan di JTM International AI & Robotic Carnival 2026 (AIROC’26) pada 24 April hingga semalam.
Siti Nurfatin Irdina Fakururrazi mencatatkan pencapaian membanggakan apabila muncul juara kategori pelajar menerusi pertandingan Video AI kategori pelajar dan membawa pulang hadiah wang tunai RM300.
Bagi pertandingan sama untuk kategori pengajar pula, Fathilah Begum Mohamed Maidin merangkul tempat pertama dengan hadiah RM500, manakala Estee Soon Bee Ling memenangi tempat ketiga dan menerima RM200.
Pengarah KK Taiping, Aznur Anuar Ab Azid berkata penyertaan dalam AIROC’26 di ADTEC JTM Kampus Taiping itu merupakan platform penting untuk memperluas pendedahan warga kolej terhadap teknologi terkini.
“Penyertaan ini memberi ruang kepada warga kolej meneroka potensi AI serta meningkatkan keyakinan untuk bersaing di peringkat yang lebih luas. Pengalaman ini mampu menyumbang kepada pembangunan kemahiran dan pemikiran inovatif mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Kejayaan itu juga katanya mencerminkan komitmen KK Taiping dalam menyokong agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara bagi melahirkan modal insan yang kompeten serta berdaya saing selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
Majlis penutupan karnival telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Perak, Dato’ Sivanesan Achalingam.
-AA-





