Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Aktiviti Unik Basikal Air Jadi Tumpuan Pengunjung di Tanjong Karang

By 29 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Shahrizal Ismail (Kuala Selangor)

KUALA SELANGOR, 29 April (MalaysiaAktif) – Kuala Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama di Selangor dengan pengenalan aktiviti riadah basikal air (water bike) di Kunci Air Buang, Tanjong Karang, baru-baru ini.

Sejak mula beroperasi, lokasi tersebut menjadi tumpuan luar biasa bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat, malah pengunjung luar daerah yang ingin merasai pengalaman unik mengayuh di atas air sambil menikmati panorama sawah padi yang menghijau.

Pemiliknya, Mohd Nur Hafizan Jamaludin, 43, berkata inisiatif itu bertujuan merancakkan ekonomi penduduk melalui sektor pelancongan komuniti.

“Kehadiran pengunjung mencecah 300 orang pada hujung minggu secara tidak langsung membuka peluang perniagaan kepada penduduk sekitar, khususnya pengusaha gerai makanan. Ini adalah perkembangan positif untuk sosioekonomi di Tanjong Karang,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, aktiviti tersebut menawarkan kelainan kepada pengunjung selain menekankan aspek keselamatan melalui penyediaan jaket keselamatan kepada setiap pengguna.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Shah Alam, Mohd Shahrul Izwan, 34, berkata beliau amat teruja membawa keluarga selepas lokasi itu tular di media sosial.

“Pemandangannya sangat cantik, terutama waktu petang. Ia sesuatu yang berbeza daripada aktiviti di bandar. Anak-anak seronok kerana ini kali pertama mereka mencuba basikal air di kawasan kunci air,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda