Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kanak-Kanak 10 Tahun Dikhuatiri Lemas, Hanyut Arus Deras di Puncak Alam

By 29 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Shahrizal Ismail/BBP Bestari Jaya (Kuala Selangor)

KUALA SELANGOR, 29 April (MalaysiaAktif) – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Taman Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7.47 malam itu menyebabkan mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri sebelum dihanyutkan ke longkang besar berhampiran.

Jurucakap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya Azrel Izaidi Ahamad, berkata sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pasukan penyelamat telah melakukan pecahan anggota mengikut sektor pencarian di sepanjang laluan air. Teknik surface searching atau pencarian di permukaan air telah dijalankan secara intensif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azrel Izaidi, radius pencarian diperluas sehingga merangkumi jarak empat kilometer sepanjang longkang utama dan anak sungai yang bersambung dengan lokasi kejadian.

Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada 4.30 pagi hari ini sebelum disambung semula pada pukul 8 pagi tadi.

Namun, mangsa sehingga kini masih belum ditemui dan usaha pencarian terus giat dijalankan dengan tumpuan di kawasan yang dikenal pasti sebagai titik pengumpulan sampah serta pusaran air.

Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama ketika musim hujan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

-AA-

Tinggalkan komen anda