
Laporan/foto: Nooratirah Che Hasan/Fikri Johari (LMS)
TAIPING, 17 April (MalaysiaAktif) – Bermula sekadar berjualan di pasar malam, sepasang suami isteri kini mampu menarik nafas lega apabila produk cili kisar yang diusahakan mereka berjaya menembusi pasaran lebih meluas dengan anggaran keuntungan RM20,000 sebulan.

Farah bersama pekerja sedang menerangkan cara pembuatan cili kisar
Pengasas Abby Zam Enterprise, Farah Azliza Rahim, 41, berkata perniagaan yang diusahakan bersama suaminya, Mohd Nizam Jaapar, 45, itu pada awalnya dijalankan secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri sebelum mendapat permintaan daripada rakan dan kenalan.
“Pada peringkat awal, pengeluaran hanya dijalankan di rumah dan semua proses pembuatan dilakukan sendiri merangkumi pemilihan bahan, pengisaran sehinggalah pembungkusan.
“Kini, perniagaan ini telah berkembang maju dengan kekuatan 12 tenaga kerja bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Menurut Farah, modal awal bagi memulakan perniagaan tersebut diperoleh melalui bantuan pembiayaan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Sesi lawatan dan bergambar bersama usahawan cili kisar tempatan, Abby Zam Enterprise.
Katanya, bagi memastikan kelancaran operasi, kapasiti pengeluaran turut ditambah dan proses kerja ditambah baik, meskipun berdepan cabaran seperti kenaikan harga bahan mentah serta kekangan peralatan.
“Kami berharap produk ini dapat terus berkembang dan mampu menembusi pasaran luar negara pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai strategi pemasaran, beliau berkata pihaknya memanfaatkan platform digital seperti TikTok, Shopee dan Lazada untuk meluaskan capaian pelanggan.
-RI





