
Laporan/foto: Ahmad Faisal (Perak Tengah)/IPD Perak Tengah
KAMPUNG GAJAH, 17 April (MalaysiaAktif) – Lawatan rasmi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama Ramli Ngah Talib semalam dilihat sebagai satu usaha murni dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan tertinggi dan masyarakat setempat di daerah Perak Tengah.

Beliau turut mengambil kesempatan menaburkan bunga ke atas kubur ayahanda dan bondanya
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan itu turut disertai isteri beliau Toh Puan Raja Noorashikin Raja Abdullah dengan melibatkan kunjungan ke beberapa lokasi utama di daerah ini.
IPD Perak Tengah turut melaksanakan penugasan kawalan keselamatan dan pemantauan trafik bagi memastikan kelancaran sepanjang atur cara berlangsung.
“Secara keseluruhan, penugasan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” menurut kenyataan itu.

Anggota polis bersiap sedia dan diberi taklimat sebelum penugasan
Antara lokasi yang diziarahi ialah Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk dan Tanah Perkuburan Islam Pasir Salak sebelum pasangan itu diteruskan ke Kediaman Rasmi Dato’ Sagor di Kampung Pasir Salak, di sini.
“TYT bersama pasangan mengadakan ziarah ke tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari serta sesi santai bersama tetamu di kediaman rasmi tersebut,” menurut kenyataan itu.
Hadir sama mengiringi lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Perak Tengah Mohd Zaki Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah.
-AA-





