
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 2 Apr (MalaysiaAktif) – Buah engkalak atau nama saintifiknya Litsea garciae dan digelar sebagai ‘Avocado Malaysia’ ternyata bernilai komersial apabila ia kini semakin mendapat permintaan tinggi orang ramai.
Buah berbentuk bulat dan berwarna merah jambu cerah daripada keluarga Lauraceae ini mempunyai tekstur isi cair, berkrim serta rasa lemak yang unik.
Peniaga engkalak, Daniel Jenang, 58, berkata keadaan itu menyebabkan ramai penduduk mula menanam pokok berkenaan di kawasan laman rumah atau kebun sendiri menggunakan biji buah yang matang.
“Walaupun mengambil masa sekitar empat ke lima tahun untuk berbuah, penantian itu berbaloi kerana hasilnya lumayan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Daniel turut melihat potensi besar engkalak untuk diangkat sebagai produk pelancongan gastronomi Sarawak memandangkan pelancong luar juga menurutnya kini mula meminati buah tersebut termasuk dalam bentuk jeruk.
Berkongsi lebih lanjut mengenai buah berkenaan, Daniel berkata engkalak merupakan sebahagian daripada identiti budaya dan kelangsungan hidup masyarakat Iban sejak zaman berzaman.
“Selain isinya enak, kulit pokok engkalak turut digunakan secara tradisional untuk merawat masalah kesihatan termasuk sengatan serangga, gigitan ular, bisul serta luka bakar,” katanya.
Kongsinya lagi, masyarakat terdahulu amat mementingkan pantang larang ketika ingin memetik buah engkalak bagi menjaga kualiti dan mengelakkan isinya menjadi pahit.
Menurut Daniel, buah yang masak ranum dipercayai tidak boleh dijolok menggunakan galah buluh bagi mengelakkan rasanya menjadi pahit sebaliknya ia perlu dipetik dengan tangan melalui kaedah memanjat pokok secara berhati-hati.
Cara menikmati engkalak juga katanya memerlukan teknik khusus bagi memastikan tekstur isinya kekal lembut dan berlemak, dan suhu air memainkan peranan paling kritikal dalam proses penyediaan.
“Air tidak boleh terlalu mendidih, cukup sekadar suam-suam panas. Jika air terlalu panas, isi engkalak akan menjadi terlalu lembek dan hilang rasa lemak aslinya.
“Itulah rahsia orang lama bagi memastikan tekstur engkalak yang dimakan itu selembut mentega,” jelas beliau.
Langkah penyediaannya dimulakan dengan mengetuk buah secara perlahan menggunakan belakang sudu agar isinya lembut secara sekata, sebelum direndam selama 10 hingga 15 minit, seterusnya dihidangkan bersama taburan garam, kicap masin atau cili padi potong untuk dinikmati bersama nasi panas.
-RJ-





