
Laporan/foto: Amir Hamizan/Azmi Abd. Rahman
PASIR PUTEH, 29 April (MalaysiaAktif) – Bidang pertanian moden khususnya perusahaan cendawan tiram semakin mendapat perhatian sebagai sumber pendapatan alternatif yang berpotensi tinggi kepada masyarakat setempat.
Seorang pengusaha cendawan tiram kelabu Azniza Mohmed, 54, berkata beliau mula menceburi bidang tersebut kira-kira dua tahun lalu selepas melihat permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Menurutnya, minat serta peluang pasaran yang luas menjadi pendorong utama beliau dan suami mengusahakan projek penanaman cendawan secara komersial bermula dari skala kecil sebelum diperluaskan.
“Saya melihat perusahaan cendawan ini sesuai diusahakan secara berperingkat dan mampu menjana pendapatan yang stabil sekiranya diurus dengan baik,” katanya ketika ditemui di tapak projek cendawan, di sini.
Beliau berkata antara cabaran utama ialah memastikan persekitaran rumah cendawan sentiasa bersih dan terkawal bagi mengelakkan jangkitan kulat lain yang boleh menjejaskan hasil.
Proses penanaman cendawan katanya memerlukan ketelitian bermula daripada penyediaan bongkah menggunakan habuk kayu dan dedak sehinggalah kawalan suhu serta kelembapan yang konsisten.
Selain dijual segar, pelbagai produk berasaskan cendawan turut dihasilkan seperti nuget cendawan, keropok cendawan, pekasam, serunding serta popia cendawan keju.
Produk berasaskan cendawan ini mendapat sambutan menggalakkan dan kini dipasarkan sekitar Kok Lanas, Melor, Kedai Menanti dan Selising, dengan perancangan untuk memperluaskan pasaran ke seluruh Kelantan serta negeri berhampiran.
-RI





