
Laporan/foto: Hirniezah Hj Tabin (Beaufort)
BEAUFORT, 29 April (MalaysiaAktif) – Selagon Agro Farm kini menjadi ladang contoh melalui pelaksanaan pertanian bersepadu yang menggabungkan pengeluaran madu kelulut, tanaman kelapa pandan dan aktiviti agro pelancongan.
Ladang berkeluasan 30 ekar itu memberi penekanan kepada penghasilan madu kelulut berkualiti tinggi yang diproses tanpa bahan tambahan bagi mengekalkan khasiat semula jadi.
Pengusahanya, Kah Chee Hong, 64, berkata beliau mengambil pendekatan menanam lebih banyak pokok kelapa pandan di sekitar log sarang kelulut bagi meningkatkan pengeluaran madu.
“Lebah kelulut lebih tertarik kepada nektar bunga kelapa pandan yang secara langsung membantu meningkatkan hasil madu serta memberi pendapatan tambahan melalui jualan buah kelapa,” katanya ketika ditemui di ladang tersebut, kelmarin.
Menurut Kah, ladang berkenaan turut membangunkan inovasi penghasilan kopi luwak yang diproses secara semula jadi melalui sistem pencernaan musang pulut dan musang binturong.
Produk tersebut menjadikan ladang itu antara perintis penghasilan kopi luwak di Sabah dengan keunikan rasa yang lebih halus serta aroma tersendiri.
Beliau menjelaskan bahawa pihaknya turut mengusahakan penternakan cacing bagi menghasilkan baja organik atau vermicast yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Aktiviti penghasilan baja organik ini turut melibatkan ahli keluarga sekali gus menjadi sumber pendapatan tambahan kepada kami,” ujarnya.
Selain fokus kepada pengeluaran produk agro, ladang tersebut turut memelihara pelbagai haiwan eksotik dan ternakan bagi menarik kehadiran peminat agro pelancongan.
Kejayaan Selagon Agro Farm membuktikan potensi pertanian bersepadu dalam memaksimumkan hasil tanah serta memberi inspirasi kepada pengusaha tani lain di negeri ini.
-RJ-





