Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Guru Pendidikan Islam Sri Aman Diseru Jadi Qudwah Hasanah Kepada Murid

By 17 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 17 April (MalaysiaAktif) – Guru Pendidikan Islam (GPI) dan Guru Bahasa Arab (GBA) di daerah ini diseru menjadi suri teladan terbaik dalam usaha membentuk generasi murid yang mempunyai jati diri Muslim kukuh.

Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abdul Rahman Muhiyuddin berkata peranan guru adalah kritikal bukan sahaja dalam menyampaikan ilmu akademik malah dalam mempamerkan akhlak serta integriti tinggi.

“Saya menyarankan para guru agar sentiasa memperkukuh hubungan dengan ibu bapa dan komuniti dalam usaha membentuk generasi yang seimbang dunia serta akhirat,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Profesionalisme Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing, di sini semalam.

Abdul Rahman menekankan kepentingan guru menjadi qudwah hasanah dalam membentuk sahsiah murid.

Program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman dengan kerjasama Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia (PEKDIS) itu bertujuan memperkukuh profesionalisme keguruan di peringkat daerah.

Penyelaras program Ahmad Muzakkir Ahmad Lotfi memberitahu penganjuran tersebut menjadi platform penting untuk menghimpunkan para pendidik dalam suasana ukhwah sekali gus memartabatkan pendidikan Islam.

Pada majlis tersebut sijil penghargaan turut disampaikan kepada semua sekolah menengah di daerah Sri Aman sebagai pengiktirafan pencapaian cemerlang subjek Pendidikan Islam bagi tahun 2025.

-RJ-

Tinggalkan komen anda