
Laporan/foto: Nor Hidayah Ismail (Meradong)
BINTANGOR, 17 April (MalaysiaAktif) – Kerjasama pelbagai pihak dalam kalangan jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti terus diperkukuh bagi memperkasa pembangunan pendidikan di Meradong menerusi Program Jalinan Mesra bersama Jabatan Kerajaan dan Komuniti anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, semalam.
Perbincangan yang dipengerusikan Pegawai Pendidikan Daerah, Yakup Jai itu menyentuh soal inisiatif pembangunan pendidikan dan khidmat masyarakat secara menyeluruh.
Ia turut memberi fokus kepada sokongan pendidikan, program pembangunan belia serta kerjasama strategik antara sekolah dan agensi kerajaan, termasuk usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur, program latihan kemahiran belia serta inisiatif kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang turut hadir menyatakan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan di daerah tersebut.
“Pendidikan sentiasa berada di lapisan teratas dalam komitmen kerajaan kerana hanya pendidikan mampu mengubah bentuk kehidupan di masa hadapan.
“Seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadi negeri yang mampu bersaing dalam dunia berteknologi tinggi kini, saya menyeru supaya pihak pendidikan menggilap lagi ramai pelajar yang mempunyai kemahiran tinggi dalam teknologi dan vokasional (TVET) bagi melahirkan generasi yang mampu membantu pembangunan Sarawak pada masa akan datang,” katanya.
-FN





