Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Ibadah Haji Satu Perjalanan Suci, Tuntut Komitmen Tinggi – MB Negeri Sembilan

By 6 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sharil Alias/Media MBNS (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 6 April (MalaysiAktif) – Seramai 1,447 bakal jemaah haji dari seluruh Negeri Sembilan telah melengkapkan persiapan fasa akhir menerusi Kursus Perdana Haji (KPH) bagi musim 1447H/2026M di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), semalam.

Aminuddin menyerahkan beg kelengkapan haji kepada salah seorang bakal jemaah haji wanita.

Program kelolaan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama kerajaan negeri itu bertujuan memastikan setiap jemaah dilengkapkan dengan ilmu ibadat, ketahanan mental, serta kesihatan fizikal yang optimum sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata ibadah haji merupakan satu ujian keikhlasan dan perjalanan suci yang menuntut komitmen tinggi.

Justeru, beliau berkata majlis tersebut bukan sekadar pertemuan biasa sebaliknya detik penting dalam persiapan bakal jemaah untuk ke Tanah Suci.

“Melihat kesungguhan para jemaah yang hadir, timbul rasa insaf dan syukur kerana bukan semua diberi peluang ini. Sesungguhnya, ibadah haji adalah satu panggilan istimewa dan merupakan satu perjalanan jiwa untuk kembali kepada fitrah dan mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kursus Perdana Haji (KPH) 1447H/2026M di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dekat sini semalam.

Aminuddin bersama-sama kakitangan Tabung Haji, pengurusan USIM, dan bakal jemaah haji.

Peserta, Siti Rohani Mansor, 58, dari Seremban, berkata latihan simulasi yang dijalankan itu berjaya melonjakkan keyakinannya sebagai bakal jemaah buat kali pertama.

“Alhamdulillah, melalui kursus perdana ini saya dapat gambaran lebih jelas tentang suasana sebenar di Makkah nanti. Walaupun sedikit letih dengan aktiviti praktikal, tetapi semangat untuk menjadi tetamu Allah mengatasi segalanya. Doakan kami mendapat haji yang mabrur,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda