
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Facebook Amirudin Shari
SHAH ALAM, 25 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor tampil memberikan penjelasan terperinci bagi menyangkal dakwaan tidak berasas berhubung status tanah seluas 168 ekar di Permatang Kumbang, Puchong baru-baru ini.
Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan bersama 14 wakil Persatuan Penduduk Puchong diadakan bagi memperbetulkan fakta yang diputarbelitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau menegaskan bahawa tanah tersebut bukanlah kawasan hutan simpan yang dinyahwarta oleh pentadbiran masa kini, sebaliknya ia telah dinyahwarta sejak zaman British lagi.
“Faktanya, kawasan ini sudah dinyahwarta pada tahun 1926 iaitu 100 tahun lalu ketika negara dikenali sebagai British Malaya,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Mengenai isu kelulusan pembangunan, Amirudin menjelaskan pentadbiran sekarang tidak pernah memberi sebarang lampu hijau kepada mana-mana pihak untuk membangunkan kawasan cerun berbahaya tersebut.
Beliau mendedahkan bahawa pemberimilikan tanah itu sebenarnya berlaku pada tahun 1996, manakala permohonan pembangunan ditolak oleh pihak berkuasa tempatan pada tahun 2003 lalu.
Penolakan dibuat kerana 75 peratus kawasan merupakan cerun Kelas III dan IV yang tidak selamat untuk perumahan, sekali gus mengesahkan integriti keputusan kerajaan negeri.
Menyentuh dakwaan harga jualan murah, beliau menjelaskan harga RM101 juta adalah hasil tender terbuka tahun 2012 yang melebihi nilai penilaian pasaran juruperunding bertauliah.
Amirudin turut memberi jaminan akan mempertimbangkan cadangan penduduk untuk mengekalkan laluan mendaki ke Hutan Simpan Ayer Hitam demi kepentingan rekreasi dan aktiviti komuniti setempat.
-AA-





