Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Rembau Perkasakan Komuniti Ke Arah Sifar Plastik 2030

By 25 April 2026April 27th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman/Media PDT Rembau (Negeri Sembilan)

REMBAU, 25 April (MalaysiaAktif) – Misi Negeri Sembilan mencapai sasaran sifar penggunaan plastik sekali guna menjelang tahun 2030 terus dipergiat menerusi penglibatan 46 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh daerah Rembau.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Rembau, Muhammad Aiza Zamrose berkata pendedahan berterusan di peringkat akar umbi penting bagi mengubah gaya hidup masyarakat kepada alternatif yang lebih mesra alam.

“Penglibatan aktif kepimpinan komuniti, khususnya JPKK, adalah kunci utama dalam memastikan mesej kelestarian alam ini dihayati serta dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat menjelang 2030,” katanya ketika merasmikan kempen tersebut di Balai Raya Kampung Seri Layang Jaya, semalam.

Program separuh hari itu mengaplikasikan pendekatan Komunikasi, Pendidikan, Kesedaran Awam dan Penyertaan Awam (CEPA) bagi mendedahkan komuniti kepada bahaya sisa plastik terhadap kelestarian ekosistem.

Selain ceramah kesedaran oleh wakil Pejabat Pembangunan Negeri (ICU JPM) dan SWCorp Negeri Sembilan, peserta turut dibawa melawat Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) kampung berkenaan bagi melihat pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik.

Majlis tersebut turut diakhiri dengan penyampaian hadiah kempen kesedaran yang menyaksikan JPKK Kampung Seri Layang Jaya dinobatkan sebagai johan Pertandingan Video Kreatif, manakala johan Pertandingan Mencipta Poster dirangkul oleh JPKK Kampung Selemak.

-AA-

Tinggalkan komen anda