
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 1 Apr (MalaysiaAktif) – Kehadiran Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 untuk menduduki peperiksaan di Perlis bertambah baik berbanding tahun sebelumnya.

Rose Aza Che Arifin (kiri) menerangkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2025 negeri Perlis kepada wartawan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Rose Aza Che Arifin berkata kadar kehadiran direkodkan pada 98.20 peratus calon manakala ketidakhadiran menurun kepada 59 orang berbanding 69 orang sebelumnya.
“Peningkatan kehadiran membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif seperti Dialog Prestasi Berfokus, Ziarah Cakna dan program motivasi yang dilaksanakan oleh pihak jabatan,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan SPM Tahun 2025, di sini semalam.

Rose Aza Che Arifin (tengah ) bersama pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Perlis menunjukan infografik keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia 2025 Negeri Perlis.
Bagaimanapun, menurutnya pencapaian keseluruhan menunjukkan sedikit penurunan apabila Indeks Gred Purata Negeri (GPN) meningkat kepada 4.67 berbanding 4.57 pada tahun 2024.
Katanya, bilangan calon cemerlang menurun kepada 54 orang (1.67 peratus) berbanding 89 orang (2.96 peratus) tahun sebelumnya.
Perlis mencatatkan peningkatan jumlah calon yang mendaftar pada tahun 2025 kepada 3,752 orang berbanding 3,551 pada 2024.
-RI





