
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 26 April (MalaysiaAktif) – Isu kesejahteraan minda dalam kalangan warga pendidik kini menjadi agenda penting susulan peningkatan tekanan kerja dan cabaran emosi dalam persekitaran pendidikan masa kini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata kesihatan mental tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara sampingan kerana ia memberi kesan langsung terhadap prestasi kerja.
“Kesejahteraan minda bukan lagi berada di pinggiran sebaliknya menjadi agenda yang semakin serius dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak khususnya guru, pensyarah dan mahasiswa,” katanya ketika berucap pada Program Wacana Kesejahteraan Minda Pemimpin Pendidikan MADANI di Dewan Tun Mustapha, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, di sini kelmarin.
Menurut Mustapha, apabila kesejahteraan mental tenaga pengajar terjejas ia secara langsung akan mengganggu pertumbuhan holistik murid serta suasana pembelajaran.
Pengerusi Persatuan Sukarelawan dan Kebajikan Wanita Sabah (UKKWA), Datin Rosnih Nasir pula menekankan kepentingan memperkukuh pengurusan emosi dan daya tahan mental individu dalam organisasi.
“Guru yang sejahtera akan melahirkan murid yang cemerlang, manakala pemimpin yang stabil emosinya mampu membina organisasi yang berdaya tahan,” katanya.
Rosnih turut menyarankan agar kumpulan sokongan dan komunikasi sihat dalam masyarakat diperkasakan bagi mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental.
Sementara itu, pelajar UiTM Sabah, Duratul Ariqah Mohd Fauzil, 22, berkata program berkenaan memberi perspektif baharu mengenai kepentingan mendapatkan bantuan awal.
“Kita tidak seharusnya malu jika mengalami tanda-tanda awal masalah mental sebaliknya perlu menanganinya dengan cara yang betul,” katanya.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada pelajar, pendidik serta kaunselor.
-RJ-





