Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Ketua Hakim Negara Rasmi Bangunan Baharu Mahkamah Mukah

By 6 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Abd Majid/Farihan (Mukah)

MUKAH, 6 April (MalaysiaAktif) – Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini merasmikan bangunan baharu Mahkamah Mukah bagi memperkasa sistem kehakiman di Sarawak.

Projek ubah suai mahkamah tersebut melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM474,925 bagi menyediakan kemudahan yang lebih kondusif kepada pengamal undang-undang serta orang awam.

Majistret Mahkamah Majistret Mukah Oon Kork Chern berkata perpindahan ke premis baharu itu membolehkan operasi kehakiman dijalankan dengan lebih efisien serta sistematik.

Wan Ahmad Farid menurunkan tandatangan di atas plak perasmian sambil disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Amelati Parnell (kanan sekali).

Beliau menjelaskan Mahkamah Mukah sebelum ini beroperasi di Bangunan Pentadbiran Lama Kubu Burdett II yang berusia 78 tahun di Jalan Kubu.

Operasi mahkamah tersebut kemudiannya pernah ditempatkan di beberapa lokasi sementara termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah serta Mahkamah Syariah.

“Perpindahan ini memberikan keselesaan kepada semua pihak selain membolehkan perkhidmatan dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih moden dan lengkap,” katanya kepada MalaysiaAktif.

Oon memberitahu bangunan lama mahkamah yang mempunyai nilai sejarah tinggi itu kini akan dipelihara sebagai arkib warisan negeri.

Mahkamah Mukah kini beroperasi sepenuhnya di Lot 426 dan 427, Block 50, Mukah Land District bertempat di Jalan Desa Tanjung Fasa 2.

Mengulas prestasi mahkamah, beliau berkata sebanyak 110 kes telah didaftarkan di Mahkamah Sesyen Mukah pada tahun 2025 dengan 95 kes berjaya diselesaikan.

Bagi Mahkamah Majistret pula sebanyak 1,429 kes didaftarkan sepanjang tahun sama dengan 1,070 kes telah diselesaikan setakat ini.

Mahkamah baharu itu kini disokong oleh tenaga kerja merangkumi Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Penolong Pegawai Tadbir Undang-Undang serta jurubahasa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda