Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Keunikan Kraf Tangan Sarawak Tarik Perhatian Pengunjung Di Sibu Heritage

By 15 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sharifah Robiah Wan Hadion (Sibu)

SIBU, 15 April (MalaysiaAktif) – Keunikan seni kraf tangan tempatan terus menjadi tarikan utama pengunjung yang berkunjung ke Sibu Heritage Centre di Jalan Central, di sini bagi mendapatkan cenderamata identiti Sarawak.

Premis tersebut menawarkan pelbagai hasil kraf tangan tradisional seperti bakul rotan, pua kumbu, manik, ukiran patung pahlawan serta beg anyaman tangan yang mencerminkan kekayaan warisan budaya.

Pelbagai hasil kraf tangan tradisional Sarawak seperti pua kumbu dan anyaman rotan dipamerkan untuk jualan kepada pengunjung di Sibu Heritage, kelmarin.

Pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Ling, 68, berkata premis berkenaan telah beroperasi lebih 10 tahun.

Beliau menjelaskan usaha mengekalkan keaslian serta kualiti produk kraf tangan tempatan sangat penting agar ia terus dihargai oleh generasi muda.

“Produk ini menjadi pilihan pelancong sebagai cenderamata unik dari Sarawak selain melambangkan kehalusan seni tangan masyarakat kita,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini semalam.

Ling memberitahu kedai tersebut turut menerima kunjungan pelanggan dari Semenanjung Malaysia dan luar negara yang tertarik dengan keunikan seni kraf tangan tradisional.

Kedudukan kedai yang strategik di tengah bandar Sibu memudahkan pengunjung untuk singgah sekali gus membantu mempromosikan hasil seni tempatan ke peringkat lebih luas.

Pembangunan sektor kraf tangan ini bukan sahaja memelihara warisan budaya malah memberi impak positif kepada ekonomi peniaga kecil di Bahagian Sibu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda