
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Oongisvoce (Penampang)
PENAMPANG, 15 April (MalaysiaAktif) – Seramai 177 calon berjaya memperoleh sijil antarabangsa menerusi peperiksaan St. Cecilia School of Music (SCSM) sekali gus mencerminkan perkembangan positif bidang pendidikan muzik di Sabah.
Sijil antarabangsa SCSM merupakan kelayakan muzik global yang berasal dari Australia dan kini mempunyai pusat peperiksaan di seluruh dunia, termasuk di Sabah menerusi Oongisvoce Academy of Music sebagai rakan kerjasama.
Pengetua Oongisvoce Academy of Music, Elton Ciddy berkata setiap keputusan peperiksaan adalah hasil penilaian rapi pemeriksa antarabangsa yang bertauliah berdasarkan kriteria yang ketat.
“Ia bagi memastikan setiap sijil yang diterima mempunyai nilai kualiti tinggi dan bukan sekadar penyertaan semata-mata.
“Pencapaian tahun ini amat membanggakan apabila 44 calon memperoleh skor sempurna 100 peratus manakala 94 lagi meraih Higher Distinction,” katanya pada Majlis SCSM Awards 2026 di Dewan Huguan Siou Tuavon, di sini pada Ahad lalu.
Pengarah Artistik akademi berkenaan, Carrey Oliver pula berkata kerjasama dengan SCSM dilaksanakan kerana badan peperiksaan tersebut memberikan pengiktirafan tinggi terhadap nilai budaya Sabah.

Elton Ciddy (kiri) dan Carrey Oliver (kanan) bersama penerima anugerah Ivy Wong, 53, yang menerima sijil antarabangsa pada Majlis SCSM Awards 2026 di Penampang, kelmarin.
Menurut Carrey lagu etnik kontemporari seperti Kadazandusun, Murut dan Bajau kini boleh dinilai di peringkat global menerusi kurikulum antarabangsa tersebut.
“Usaha ini meletakkan karya tempatan setaraf dengan repertoar antarabangsa selain mempromosikan identiti budaya negeri kepada dunia luar,” katanya.
Penerima anugerah Distinction, Ivy Wong, 53, menyifatkan pendidikan muzik sebagai satu perjalanan sepanjang hayat yang melampaui batasan usia.
“Melalui peperiksaan ini saya dapat meningkatkan ketepatan teknikal serta memperoleh keseimbangan mental di samping tugas harian sebagai pendidik,” katanya.
Pemenang skor sempurna, Myra Eve Fernandez, 11, berkata pengalaman tersebut mengajarnya tentang kepentingan disiplin dalam menguasai karya muzik bertaraf dunia.

Myra Eve mencatatkan keputusan cemerlang dengan skor 100 peratus Higher Distinction dalam peperiksaan muzik antarabangsa SCSM 2026.
Beliau memberitahu pendedahan itu memberi keyakinan untuk mewakili Pejabat Pendidikan Daerah Penampang dalam pertandingan GENTA Suara Generasi MADANI 2026.
-RJ-





