Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Krisis Asia Barat Jejas Projek Pembinaan, Penyelenggaraan Jalan Raya

By 15 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shah Hood (Johor)/Facebook JKR Daerah Kulai

KULAI, 15 April (MalaysiaAktif) – Projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara dijangka berdepan kelewatan susulan kenaikan harga bahan binaan dan kos diesel akibat krisis geopolitik di Asia Barat.

Kenangan gambar bersama kakitangan pentadbiran Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai sempena lawatan kerja rasmi Timbalan Menteri Kerja Raya

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata ketika ini terdapat 855 projek sedang dilaksanakan melibatkan 28 kementerian dan jumlah projek lewat dijangka meningkat berbanding sebelum ini.

“Data sebelum krisis menunjukkan satu pertiga projek siap awal, satu pertiga mengikut jadual dan satu pertiga lewat.

“Namun, keadaan semasa dijangka memberi kesan kepada prestasi projek,” katanya selepas melawat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai, di sini kelmarin.

Tambahnya, kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada projek jalan raya kerana melibatkan penggunaan jentera secara berterusan.

Sesi libat urus bersama kontraktor dan pihak berkaitan bagi membincangkan pelaksanaan projek serta cabaran kos semasa

Dalam pada itu, beliau berkata kontraktor boleh memohon pelarasan harga (VOP), lanjutan masa (EOT), kawalan harga bahan binaan serta kebenaran memperlahankan kerja, namun pemberhentian projek tidak dibenarkan.

Katanya, semua permohonan akan diteliti dan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, manakala data rasmi kenaikan harga bahan binaan akan diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau menegaskan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek infrastruktur negara walaupun berdepan cabaran kos semasa, demi memastikan manfaat pembangunan terus dinikmati rakyat.

-AA-

Tinggalkan komen anda