
Laporan/foto: Khairul Othman/Media MBNS (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 17 April (MalaysiAktif) – Konvensyen Kehakiman dan Perundangan Syariah Kebangsaan (KOPKES) 2026 mengangkat keunikan Adat Perpatih sebagai warisan negeri yang mempunyai nilai keadilan sosial yang tinggi khususnya dalam memartabatkan kedudukan wanita membabitkan pemilikan harta.

Datuk Seri Utama Aminuddin Harun merakamkan gambar kenangan bersama ratusan peserta dan jawatankuasa penganjur.
Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata dalam Adat Perpatih wanita bukan sekadar dilindungi tetapi diangkat sebagai pemegang amanah yang memastikan kelangsungan institusi keluarga dan kestabilan masyarakat.
“Prinsip ‘Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah’ membuktikan bahawa adat dan syariat saling melengkapi dalam membentuk masyarakat yang seimbang dan harmoni,” katanya ketika berucap merasmikan KOPKES 2026 di Klana Resort Seremban di Klana Resort Seremban, di sini kelmarin.
KOPKES 2026 diadakan sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, merupakan platform menghimpunkan pengamal undang-undang, ahli akademik dan pelajar bagi memperkukuh wacana kehakiman Syariah yang memfokuskan perkongsian ilmu, isu semasa perundangan Syariah dan pelancaran jurnal perundangan Syariah pertama dalam talian, AL-TAQRIR.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata KOPKES 2026 turut menjadi medan penegasan identiti negeri.

Aminuddin (tiga dari kiri) bersama barisan tetamu kehormat menunjukkan naskhah Jurnal ‘Al-Taqrir’ sejurus menyempurnakan gimik pelancaran Jurnal Perundangan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) sempena KOPKES 2026 di Klana Resort Seremban.
“Melalui konvensyen ini, kita bukan sahaja membincangkan hukum dan dasar, tetapi turut memperkukuh peranan Negeri Sembilan sebagai hab kecemerlangan perundangan Syariah dan adat di peringkat nasional dan serantau.
“Inilah identiti kita yang perlu dipelihara, diperkasa dan diwariskan kepada generasi akan datang,” jelasnya.
Pada masa yang sama Aminuddin turut menyuarakan harapan agar segala resolusi, perbincangan, dan dapatan daripada konvensyen berkenaan dapat diterjemahkan kepada bentuk tindakan yang memberi manfaat langsung kepada umat Islam.
Tegasnya, langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan sistem keadilan yang berteraskan nilai Islam dan warisan adat yang kekal teguh mendepani peredaran zaman.
-RI





