
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran/FAMA Daerah Tangkak (Tangkak)
TANGKAK, 17 April 2026 (Malaysia Aktif) – Program Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan yang berlangsung di Pasar Tani Kekal Bukit Gambir, di sini semalam mendapat sambutan daripada pengunjung sekali gus mempromosikan amalan pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

Orang ramai mendapatkan Kombo Agro MADANI yang dijual sempena Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan.
Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tangkak, Muhammad Arif Othman berkata program itu turut membantu mempromosikan hasil pertanian tempatan kepada masyarakat.
“Kami berharap program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan dalam pemakanan harian.
“Selain lebih segar dan berkhasiat, penggunaan hasil tempatan juga dapat membantu meningkatkan pendapatan para petani dan usahawan tani di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan membuktikan masyarakat kini semakin prihatin terhadap gaya hidup sihat serta sokongan terhadap produk tempatan.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program termasuk jualan Kombo Agro MADANI, demonstrasi masakan daging arnab lemak cili padi, kuiz berkaitan sayur-sayuran dan ulam-ulaman, pertandingan teka berat buah serta agihan buah-buahan percuma kepada orang ramai.
Menurut beliau, sebanyak 100 set Kombo Agro MADANI disediakan pada program tersebut dengan harga RM15 bagi setiap set yang mengandungi seekor ayam, bawang, santan, garam dan mihun bagi membantu meringankan perbelanjaan pengunjung.
-RI





