
Laporan/foto: Aini/KPDN Perlis
KANGAR, 3 April (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis meningkatkan pemeriksaan serta pemantauan di stesen minyak susulan pelaksanaan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing bermula kelmarin.

Penampalan Notis di pam minyak turut diperhebat.
Pengarahnya Rohaida Hassan berkata langkah tersebut bertujuan memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat tempatan serta mengelakkan ketirisan, khususnya di kawasan sempadan.
Menurut beliau, pemantauan telah dilaksanakan di kesemua 40 stesen minyak di negeri ini termasuk 10 stesen berhampiran sempadan, dengan hasil awal menunjukkan pengusaha stesen mematuhi arahan yang ditetapkan.
“Kerjasama pengusaha stesen minyak amat baik dan mereka menyambut baik pelaksanaan sekatan penjualan menggunakan kad debit serta kad antarabangsa di terminal layan diri bagi mengawal pembelian RON95,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata tindakan undang-undang kini diperluaskan bukan sahaja kepada pengusaha stesen, malah melibatkan pemilik dan pemandu kenderaan asing yang didapati melanggar peraturan.

Advokasi berkenaan penguatkuasaan larangan penjualan minyak kepada kenderaan asing.
Seramai 38 Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Perlis telah digerakkan bagi mempertingkatkan pemeriksaan secara berterusan di semua stesen minyak di seluruh negeri.
Orang ramai turut diseru untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi seperti portal e-aduan, talian hotline dan aplikasi EZ ADU KPDN.
-RI






