Skip to main content
Berita TempatanLabuan

LISC 2026 Gegar Labuan, 224 Peserta Sertai Cabaran Laut Dalam

By 29 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 29 April (MalaysiaAktif) – Pertandingan Memancing Laut Dalam membuka tirai penganjuran edisi ke-28 Labuan International Sea Challenge (LISC) 2026 dengan penyertaan seramai 224 peserta termasuk dari luar negara.

Antara peserta yang sangat teruja untuk memulakan cabaran Pertandingan Memancing Laut Dalam LISC 2026

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata pertandingan itu merupakan satu daripada lima acara utama yang disenaraikan bagi LISC 2026.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan peserta, 198 menyertai kategori berkumpulan manakala 26 lagi bagi kategori individu, dengan 169 peserta tempatan dan 55 peserta antarabangsa.

“Kesemua peserta telah berlepas ke tiga lokasi pertandingan iaitu Perairan Terumbu Ubi, Terumbu Siput serta perairan antara Pulau Layang-Layang dan Terumbu Semarang Barat Besar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Rithuan berkata kawasan pertandingan berkenaan telah mendapat kelulusan pihak berkuasa dengan pematuhan syarat dan peraturan yang ketat, termasuk kebenaran khas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain turut dipantau oleh beberapa agensi berkaitan seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Seekor ikan Black Marlin seberat 230kg yang berjaya dinaikkan peserta LISC 2025

Peserta juga diingatkan supaya tidak menangkap atau membawa pulang spesies ikan yang dilindungi termasuk humphead wrasse (Cheilinus Undulatus) atau ikan maming.

Tambahnya, LISC 2026 menyaksikan beberapa penambahbaikan yang mampu menarik lebih ramai penyertaan dan pengunjung yang menjayakan acara itu.

“LISC kali ini menyaksikan penambahan acara utama dan acara sampingan berbanding edisi yang lepas selain hadiah wang tunai keseluruhan juga meningkat ke RM385 ribu sekaligus kami yakin sasaran pengunjung seramai 35 ribu akan dapat dicapai dengan bantuan jumlah peserta untuk semua acara yang menunjukkan peningkatan,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda