Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Minggu Perpaduan Zon Timur Perkukuh Identiti Nasional Rakyat Berbilang Kaum

By 11 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)

KOTA BHARU, 11 April (MalaysiaAktif) – Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Timur Tahun 2026 yang berlangsung di sebuah pasar raya di sini menjadi wadah penting penyatuan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya melalui pelbagai aktiviti berteraskan keharmonian dan kebersamaan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj ketika memberikan ucapan

Program selama tiga hari itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran agensi kerajaan dan swasta, Karnival Ekonomi Rukun Tetangga Progresif, Jualan RAHMAH, aktiviti sukan rakyat, pertandingan kekeluargaan serta persembahan kebudayaan yang terbuka kepada penyertaan semua lapisan masyarakat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, berkata konsep negara bangsa tidak boleh ditafsir sebagai satu kaum atau satu budaya, sebaliknya terdiri daripada rakyat yang pelbagai kaum, agama, budaya dan bangsa.

“Walaupun masyarakat Malaysia bersifat majmuk, semua pihak perlu bersatu di bawah satu identiti nasional yang dikongsi bersama demi memastikan keharmonian, kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Antara pengunjung yang hadir memeriahkan majlis

Menurutnya, program seperti Minggu Perpaduan wajar diteruskan kerana mampu mendekatkan rakyat, memupuk kefahaman serta mengukuhkan hubungan sosial dalam komuniti setempat.

Penganjuran program ini dilihat sebagai medium berkesan untuk menyemai nilai saling menghormati dan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

-AA-

Tinggalkan komen anda