
Laporan/foto: Aifaa Syafiq (Bentong)
BENTONG, 11 April (MalaysiaAktif) – Transformasi laluan Bentong Walk melalui dekorasi mural yang kreatif dan ikonik kini menjadi pemangkin utama kepada lonjakan pendapatan peniaga di kawasan sekitar pusat bandar ini.

Laluan yang dahulunya sepi kini berwajah baharu
Laluan yang dahulunya sekadar lorong biasa kini berubah wajah dengan lukisan dinding yang memaparkan identiti tempatan, sekali gus menarik kehadiran pelancong luar yang secara tidak langsung merancakkan lagi aktiviti ekonomi peniaga sedia ada.
Seorang peniaga tempatan, Mohamad Danish Afiqi Samion berkata sejak kawasan itu tular sebagai lokasi bergambar untuk tren OOTD (outfit of the day atau peragaan hari ini) aliran pengunjung ke kedainya meningkat dengan ketara berbanding sebelumnya.
“Mural dan transformasi Bentong Walk ini membantu melariskan lagi jualan saya. Kalau dahulu pengunjung kedai kami agak terhad, tetapi kini kehadiran pelancong semakin ramai, terutamanya pada hujung minggu.
“Mural-mural yang cantik menarik minat orang ramai untuk datang bergambar, dan secara tidak langsung, mereka akan singgah di kedai kami,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, semalam.

Mohamad Danish Afiqi kini lega dengan kehadiran ramai pelancong sejak adanya Bentong Walk
Tambahnya lagi, kewujudan Bentong Walk sebagai destinasi wajib singgah telah mengubah landskap perniagaan di kawasan berkenaan daripada hanya bergantung kepada pelanggan tetap tempatan kepada pasaran pelancongan yang lebih luas.
Rata-rata peniaga di bangunan sedia ada di sepanjang Bentong Walk mengakui bahawa mereka kini dapat beroperasi dengan lebih yakin dan melihat potensi pertumbuhan yang cerah untuk masa hadapan perniagaan mereka.
Ini membuktikan usaha mencantikkan dan membangunkan kawasan tempatan boleh memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada komuniti peniaga sedia ada.
-AA-






