
Laporan/foto: Amiruddin Adli/Fatihayatul Sadi (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 3 April (MalaysiaAktif) – Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1447H/2026M terus menjadi manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memperkasakan syiar Islam serta membudayakan al-Quran dalam kehidupan masyarakat.

Ucapan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata penganjuran secara penggiliran di negeri-negeri membuktikan kerjasama erat antara kedua-dua pihak dalam memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Menurut beliau, dalam menghadapi cabaran dunia moden seperti krisis kemanusiaan, cabaran digital dan kemerosotan nilai, umat Islam perlu kembali kepada prinsip kenabian seperti rahmah, adil, ihsan, amanah dan taqwa dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
“Penganjuran ini bukan sekadar mencari wakil terbaik ke peringkat antarabangsa, tetapi lebih penting untuk menyemai rasa cinta terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat,” katanya, di Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1447H/2026M, sini semalam.
Negeri Terengganu menjadi tuan rumah MTHQK kali ini yang berlangsung selama enam hari bermula 13 hingga 18 April 2026 di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak dengan tema ‘Kalam Ilahi, Tradisi Diwarisi’.
Seramai 108 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian melibatkan kategori tilawah dan hafazan, dengan penyertaan terdiri daripada 28 peserta tilawah dan 80 peserta hafazan. Kesemua peserta berumur antara 14 hingga 62 tahun.
-RI





