
Laporan/Foto: Salleh Immun (Mukah)/KEMAS Mukah
MUKAH, 27 April (MalaysiaAktif) – Natalie Abdullah dari Kampung Penakub Hilir dinobatkan sebagai juara pertandingan Ratu Ibu Anggun Kaul 2026 sempena Pesta Kaul di Pantai Kala Dana, di sini malam tadi.
Kemenangan tersebut melayakkan wanita berusia 25 tahun itu membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta selempang dan piala selepas berjaya menonjolkan penampilan anggun serta keyakinan diri yang tinggi.
Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Mukah, Peggy Ann Iba Matu berkata pertandingan tersebut merupakan acara tumpuan bagi mengetengahkan keindahan busana serta peranan wanita dalam masyarakat.
“Pertandingan ini bukan sahaja mengetengahkan keindahan busana tradisional, malah mengangkat peranan wanita sebagai tonggak keluarga dan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Menurut Peggy Ann, program itu turut menjadi platform menghargai sumbangan wanita serta memupuk perpaduan dan kecintaan terhadap warisan budaya Melanau.
Beliau menjelaskan penyertaan peserta daripada pelbagai latar belakang yang memperagakan busana tradisional mencerminkan keunikan identiti masyarakat Mukah.
Naib juara dimenangi oleh Geroldyien Ginda, 37, manakala tempat ketiga disandang Shafina Norman, 30, dan tempat keempat pula dimenangi Dayang Rohayah Awang Helmi, 36.
Bagi kategori khas, anugerah Ratu Fotogenik dimenangi oleh Nurul Ain Asyikin Abdullah, 43, dari Selangau yang membawa pulang wang tunai RM700 berserta selempang, piala, bakul buah dan bunga.
-RJ-





