
Laporan/foto: Rudy Jaya (Bintulu)
BINTULU, 28 April (MalaysiaAktif) – Sepasang warga emas berbangsa Cina di sini mencuri perhatian apabila menghidupkan semula lagu-lagu klasik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Biduanita Negara Saloma menerusi persembahan duet di pelbagai majlis tempatan.
Liew Jen Yee, 85, dan isterinya, Sim Miaw Khim, 75, sering mendendangkan lagu malar segar sehingga digelar sebagai jelmaan pasangan legenda tersebut oleh komuniti setempat.
Liew yang lebih dikenali sebagai Angi berkata minat terhadap lagu-lagu Melayu klasik itu mula berputik sejak era 1960-an hasil dorongan rakan-rakan berbangsa Melayu.
“Kami belajar sendiri lirik dan melodi melalui cakera padat video (VCD) karaoke sehingga yakin untuk membuat persembahan di hadapan orang ramai,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Menurut Angi, bakat mereka sering mendapat pengiktirafan apabila dijemput mengadakan persembahan dalam majlis rasmi yang dihadiri pemimpin tertinggi negeri.
Beliau menjelaskan bahawa mereka pernah membuat persembahan di hadapan Bekas Yang di-Pertua Negeri Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak yang ke-5 Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pasangan tersebut turut kerap menerima jemputan daripada agensi kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) selain berpeluang membuat persembahan di Kuching.
Di sebalik populariti itu, Angi dan Sim tetap mengusahakan sebuah kedai kopi yang dikenali sebagai ‘Kedai P. Ramlee’ di Bintulu.
Kedai tersebut kini menjadi tumpuan masyarakat pelbagai kaum sekali gus mencerminkan kekuatan seni sebagai medium perpaduan di Sarawak.
Kisah pasangan ini membuktikan bahawa seni tidak mengenal batas kaum dalam menghidupkan legasi lagu klasik untuk dinikmati generasi hari ini.
-RJ-





