
Laporan/foto: Sunday Grace (Penampang)
PENAMPANG, 27 April (MalaysiaAktif) – Pertandingan Karaoke Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan oleh Pertubuhan bagi Orang-orang Buta Sabah, Sabtu lepas membawa mesej sekiranya keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk seseorang individu berjaya dalam masyarakat.
Pengerusi penganjur Vilina Passon John berkata bertemakan Suara Tanpa Batasan, ia menjadi platform mencungkil bakat dan membina keyakinan diri peserta.
“Tema ini melambangkan bahawa suara mampu menjadi medium ekspresi tanpa dipengaruhi kekangan fizikal sekali gus mencerminkan semangat inklusiviti,” katanya ketika ditemui di lokasi program, di sini kelmarin.
Vilina bagaimanapun berkata pihak penganjur berharap program tersebut dapat meningkatkan keyakinan diri peserta serta memupuk kesedaran masyarakat agar lebih menghargai keupayaan komuniti berkenaan.
Ketua Juri Pertandingan, Elton Ciddy pula menjelaskan bahawa pengalaman menjuri acara itu memberikan perspektif berbeza terhadap potensi seni golongan istimewa.
“Program seperti ini membuka mata dan pemikiran bahawa mereka juga mampu berkarya dalam seni tanpa menjadikan kekurangan fizikal sebagai halangan,” katanya.
Johan Kategori Solo, Mohd Redzuan Shah, 29, menyifatkan program berkenaan memberi ruang untuk menonjolkan kemampuan diri walaupun berdepan kekangan fizikal.
Wakil Juara Kategori Berkumpulan, Mohd Alif Mikael Cosmas Abdul, 54, berharap agar program seumpama itu diteruskan pada masa hadapan bagi membuka peluang kepada lebih ramai individu tampil ke hadapan.
-RJ-





